gotoandpaste moderator Posts : 1011 Tokubetsu Jonin  |
Posted 20/09/2007 01:18:20 PM | | Terengganu dapat suntikan menjelang Sukma
KUALA TERENGGANU – Kejayaan Terengganu bergelar juara keseluruhan kategori remaja Kejohanan Olahraga Tertutup dan Remaja Kebangsaan di Perlis, awal bulan ini menyuntik semangat skuad negeri itu untuk memburu pingat emas Sukan Malaysia XII di sini, tahun depan.
Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, kejayaan Terengganu mengaut tujuh pingat emas, dua perak dan empat gangsa di Perlis membuktikan mereka memiliki golongan atlet pelapis yang berbakat besar dan handal.
Menurutnya, peluang merangkul pingat di Sukma 2008 bertambah cerah dengan kejayaan atlet senior negeri yang merangkul empat pingat emas, satu perak dan tiga gangsa di Perlis.
“Pencapaian ini membayangkan bahawa Terengganu mampu merangkul lebih banyak emas olahraga yang akan dipertandingkan dalam Sukma Terengganu 2008,” katanya selepas menerima piala pusingan Kejohanan Olahraga Tertutup dan Remaja Kebangsaan daripada ketua kontinjen Terengganu, Kama Rezuan Kamaruddin di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Wan Hisham berkata, harapan tersebut kini diletakkan ke atas atlet remaja, Zabidi Ahmad yang mencatat masa 10.5 saat bagi acara 100 meter; M. Kamarul Izwan M. Razali (10,000 meter); Abdul Azlan Samsuddin (400 meter berpagar) dan Adie Firdaus Hussin (110 meter).
Selain itu katanya, atlet senior, Adi Aliffudin Husin, Azizah Ahmad dan pasukan lari berganti 4X100 meter dan 4X400 meter juga menjadi harapan untuk Terengganu mengutip emas dalam Sukma 2008.
“Atlet-atlet ini telah menunjukkan persembahan baik dalam Kejohanan Olahraga Tertutup dan Remaja Kebangsaan Kesatuan Olahraga Amatur dengan membawa pulang pingat emas bagi kategori masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, harapan merangkul pingat di Sukma 2008 bagi acara olahraga juga diletakkan di bahu Nik Shuhaibah Juwiah bagi acara 100 meter, Ahmad Najwan Aqra (lompat tinggi), Nurul Faizah Asma (400 meter), Muhammad Firdaus (lompat jauh), Nurul Fatimatul Zahrah (lompat kijang) dan Mohd. Muslim Sidek (lompat berpagar 110 meter).
Wan Hisham melahirkan harapan atlet-atlet Terengganu itu terus menunjukkan kecemerlangan dan mengulangi kejayaan mereka dalam Sukma 2008.
|